Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

4 tahun sebagai novelis muda...

10:29:00 PTG Hasif Hamsyari 0 Comments Category :


Tanggal 28 Februari telah ditetapkan sebagai tarikh bersejarah dalam hayat hidup saya. Sebab pada tarikh ni, seorang remaja lelaki biasa, yang datangnya dari sekolah ceruk kampung, menjadi novelis secara rasmi apabila novelnya dilancarkan. Impian yang dia pasang kerana minat mendalam akhirnya membuahkan hasil. Tak malu saya ingatkan, tak lama dulu saya sanggup meredah hujan dengan hanya naik motor ke pesta buku demi minat membaca yang waktu tu memang menggila. Waktu tu, saya tak pernah sangka akhirnya saya kini bukan lagi duduk di meja temu mesra dengan para novelis sebagai pembaca, bahkan kini saya juga di kerusi yang sama macam mereka. Pada usia 14 tahun. Syukur Alhamdulillah.

Bertitik tolak dari tarikh bersejarah ni, perjalanan saya mula nampak likunya. Empat tahun bukan satu tempoh yang lama. Saya masih cetek dalam banyak perkara. Saya mula belajar dan kemudian perjalanan saya makin dipermudah. Alhamdulillah, rezeki sentiasa pula melimpah ruah.

Untuk ulang tahun keempat ini, saya kekal mengulang ayat sama; Kejayaan saya hari ini takkan tercapai tanpa sokongan dan dorongan banyak pihak. Terima kasih kepada mak abah, Aini binti Musa dan Mohd Jelani bin Yusop, kakak dan adik-adik atas pengertian mereka terhadap minat mendalam 'Angah' mereka ini.

Tiga tahun lalu, saya mengharung kehidupan sebagai novelis ketika masih bersekolah. Dan mereka betul-betul memanfaatkan bakat saya untuk diketengahkan dalam banyak perkara, baik di peringkat sekolah sampailah ke peringkat kebangsaan. Walaupun saya kini bekas pelajar SMK Seri Tanjong dan SK Kampong Gelam, saya tak mungkin akan lupa kedua-dua sekolah ini. Atas jasa dan sumbangan guru dan kakitangan mereka, saya masih belum puas untuk terus membanggakan dua sekolah ini. Moga 100 tahun lagi, saya masih dalam ingatan sekolah-sekolah ini.

Kepada penerbit KarnaDya, dan para editornya yang bertungkus-lumus, saya ucapkan jutaan terima kasih. Maklum balas dan komen daripada editor novel pertama saya betul-betul buat hati saya berbunga-bunga waktu itu. Untuk seorang remaja yang tak pernah mengikuti mana-mana bengkel menulis, malah dangkal dengan dunia sastera, respons mereka buatkan saya bersemangat untuk menulis lebih giat lagi.

Kepada semua rakan penulis, terima kasih kerana menjadi inspirasi saya selama ini.

Secara peribadi kepada Auntie Aina Emir, tanpa peluang dan dorongan yang beliau lakukan, nama Hasif Hamsyari takkan pernah wujud. Dari perkenalan antara penulis dengan pembaca, kini beliau adalah sifu saya yang sangat saya kagumi.

Untuk kawan-kawan saya, di sekolah mahupun tidak, yang menitipkan pesan dan menghembus semangat, terima kasih.

Untuk semua pembaca novel-novel saya, terima kasih kerana sudi membaca bingkisan yang tak seberapa. Saya meneliti setiap komen yang diberikan, baik atau buruk, terima kasih atas segalanya. Moga setiap tulisan saya membawa mesej yang berguna untuk diteladani.

Untuk semua pihak yang pernah menghargai saya, melalui ceramah atau anugerah, terima kasih tak terhingga. Andalah yang kini menempatkan saya di tempat sekarang ini.

Di belakang saya sentiasa berdiri orang-orang ini. Empat tahun... Dan kini saya membuka lembaran sebagai penulis yang sudah dewasa. Doakan agar jalan saya sentiasa dipermudah. Moga semuanya dirahmati ALLAH.

Terima kasih... Ku ucap padamu. (lagak lagu Terima Kasih kat TV tu) XD

RELATED POSTS

0 komen

Comment