Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

DIARI WIRA - 14

7:33:00 PTG Hasif Hamsyari 0 Comments Category :


Lagu Tema: Tentang Kita
Lagu: Hasif Hamsyari
Lirik: Mohd Haniff Mohamad Yusoff


Pilih Bab Pilihan:
1  2  3  4  5  6  7  8  9  10  11  12  13  14  15

<<< Klik untuk baca DIARI WIRA - 13

DORM 32 PRIVATE PARTY

Aku langsung tak tahu-menahu tentang parti perpisahan dorm aku, Dorm 32 malam ini.

Sungguh, dari pemerhatian aku, hanya dorm ini sahaja yang membuat parti yang demikian. Aku tidak tahu idea siapa tapi aku syak, Efy. Sebab Efy yang aku kenal, memang seorang yang sentimental walaupun dia seorang yang agak ganas terutama waktu dia marah. Haha.

Lebih kurang 11.30 malam itu, Efy bagi arahan untuk tidak mengizinkan sesiapa pun orang luar untuk masuk ke dorm kami. Parti ini adalah untuk kami bersepuluh sahaja – aku, Amirul, Muresh, Wan, Shahrul, Efy, Azhar, Bob, Mok dan Tuah.

Berdiri dari kiri: Efy, Amirul, Muresh, aku, Wan. Duduk dari kiri: Tuah, Mok, Bob, Shahrul, dan Azhar. Err... bawah itu Ketua Wira, AJ. Haha
Untuk malam terakhir ini, aku sendiri awal-awal sudah bercadang untuk tidur di bawah sama-sama, bercantum tilam.

Untuk menjadikannya dalam suasana santai, kami keluarkan makanan-makanan ringan untuk dimakan sama-sama. Ada yang kami beli siang tadi untuk parti malam ni. Haha.
 
Selepas siap props, maka kami duduk dalam bulatan yang cemerlang seperti kumpulan kecil dalam kelas. Haha.

Aku, Mirul, Mok dan Shahrul diasingkan, kerana kamilah insan yang diraikan pada malam ini. Dan bermulalah ucapan dengan dimulai oleh Efy, dan kemudian Azhar, Wan, Bob, Muresh dan Tuah.

(Dari kiri) Mirul, aku dan Mok.
Antara lain, mereka mengucapkan terima kasih dan seronok menjadi ahli dalam dorm ini. Kesyahduan mula terasa saat masing-masing meluahkan rasa dengan penuh jujur dan ikhlas. Tak tahulah, tapi aku memang seorang yang cepat ‘touching’. Jadi memang agak sedih dengar luahan setiap seorang antara mereka. Yang paling tak dapat aku lupakan, Efy cakap, “Jujur, weyh. Aku anggap Hasif dah macam mak dalam dorm ni. Aku tak taulah macam mana aku nak bangun pagi kalau dia dah pergi nanti. Sama jugak, Shah... Mok...”

Mak? Haha. Aku tak tahu sama ada nak marah atau nak gelak. Tapi sejujurnya, aku memang sangat ambil berat tentang ahli dorm aku. Aku sangat hargai setiap antara mereka. Sedikit sebanyak, aku menganggap kenyataan Efy itu sebagai penghargaan bahawa sesungguhnya aku diterima dan disenangi oleh mereka. Alhamdulillah.

Dan kemudian tibalah giliran untuk kami yang nak balik ni berucap. Dimulakan dengan Shahrul, yang menceritakan bagaimana dia seronok menjadi ahli dorm ni walaupun dia masuk lambat memandangkan dia dulu ahli Delta yang dipindah menjadi ahli Bravo disebabkan kekurangan bilik. Namun, dia memerlukan waktu yang sangat singkat untuk sekepala dengan kitorang, warga Bravo.

Giliran aku berucap. “Mungkin korang tak tahu bagaimana kehidupan aku dekat luar sana, tapi sebenarnya, hidup aku kat sini dengan kat luar berbeza gila. Tujuan aku masuk kem ni, target aku ialah nak jadi remaja yang biasa, macam korang. Aku dah dapat pengalaman tu. Jadi terima kasih sebab jadikan aku sebahagian daripada korang sampai sekarang.”

Sumpah, memang sebak gila.

Amirul pulak membacakan titah daripada hatinya betapa dia sangat berterima kasih dan meminta maaf kalau pernah terusik hati sesiapa. Mok pun sama.

Kami berborak panjang, termasuk nasihat untuk Tuah yang dianggap macam ahli bongsu (maknae bak kata orang Korea) dalam dorm ni. Aku melihat bagaimana malam ni, semangat brotherhood antara kami sangat ketara kuat. Sangat luar biasa.

Dalam pada itu, kami dikejutkan dengan bayangan-bayangan di luar tingkap. Tertinjau-tinjau. Kami mulanya diam, cuma memerhatikan. Efy dan Mok beberapa kali keluar untuk buat tinjau, kot-kot adalah budak-budak lain yang sengaja nak mengacau. Tapi tak ada.

Sepanjang aku di sini, memang tak ada apa-apa gangguan daripada yang 'bukan manusia'. Jadi aku pun memang seboleh-boleh mengelak berfikir yang bukan-bukan walaupun kadang-kadang terfikir jugak. Dahlah ni hari terakhir aku.

Di sinilah timbulnya saspens apabila rupa-rupanya, ada beberapa orang cikgu sedang buat rondaan. Salah seorangnya ialah Cikgu Khairul. Cikgu Khairul sendiri telah mengetuk pintu dan masuk dalam bilik kami. Nyaris-nyaris aku fikirkan kitorang semua akan kena denda sebab tidur lewat (jam waktu tu dah dekat 12.30 rasanya).

Tapi rupa-rupanya, dia dah mendengar semuanya. Dia menjelaskan yang dia tertarik dengan aktiviti kami ni.

Sebelum berangkat, Cikgu Khairul meninggalkan kami dengan pesanan yang sangat menyentuh hati kami. Cikgu Khairul kagum dengan semangat kami satu dorm tapi dia beranggapan, hubungan dengan Tuhan adalah lebih utama. Dalam segala hal, mengingati Tuhan adalah yang terutama.

Sempat ahli dorm aku berbangga memperkenalkan aku sebagai seorang novelis muda. Aku tersipu-sipu saja. Selepas Cikgu Khairul pergi, kami menyambung bicara kami.

Wan antara ‘gengster’ yang disegani juga dalam kalangan wira di kem ni. Jadi dia memang tahu segala hal yang berlaku dalam kalangan ‘gengster-gengster’, baik daripada ahli Bravo mahupun kompeni lain.

Dia menceritakan bagaimana dia sebenarnya telah menjaga ahli-ahli dorm ni. Contohnya, dia mengakui berita tentang ketidakpuasan hati seorang wira terhadap Amirul tapi Wan mengingatkan dengan tegas, “Kalau kau berani usik budak dorm aku, kau cubalah.” Aku sendiri tidak tahu-menahu puncanya tapi selaku manusia biasa, perbuatan dan pertuturan kita tidak selalunya mampu menjaga hati lain manusia.

Dan kemudian, tentang prank keterlaluan yang berlaku pagi tadi. Wanlah orang yang bertanggungjawab menegaskan agar aku dan Amirul tidak diusik atas rasa hormat dia. Aku dan Amirul antara orang yang terselamat daripada dikenakan prank itu ketika hampir semua ahli Bravo yang akan balik telah pun terkena.

Aku jujur agak cemburu jugak sebab tak dapat layanan yang sama, tapi ya ampun, aku pun tak nak dapat layanan macam tu. Sangat nakal dan aku pun rasa tak manis diceritakan melainkan korang dan semua yang baca catatan ni sekarang adalah lelaki. Haha.

Semua yang jadi 'tok dalang' amatlah friendly, dan prank diorang yang nakal amat tu tak lebih hanyalah sebagai gurauan suka-suka - sebab mereka memilih untuk tidak bersedih di kala ramai antara mereka akan tamat PLKN awal daripada mereka. Tak ada sekelumit dendam atau riak-riak tak puas hati pun aku tengok bila diorang kena prank tu.

Dan malam itu, tersingkap pula lembaran kisah duka Tuah, seorang yatim yang sangat kasihan. Mungkin tak manis kalau aku ceritakan kisah hidupnya yang sangat menyayat perasaan hingga aku dan ahli dorm lain menangis kerana simpati sampai terkenang orang-orang yang kami sayangi serta bersyukur dan menginsafi diri.

Malam itu, adalah malam terindah bagi kami. Setelah puas kami menyelami hati masing-masing, kami tidur dengan nyenyaknya. Sungguh, malam ini adalah malam penuh bererti. Aku tidak pernah mengalami malam seperti malam ini, perkongsian rasa yang menyentuh hati emosi, yang mengukuhkan ikatan persahabatan antara kami.

Aku tidur dalam senyuman malam itu. Mengharapkan agar hari esok akan ada sinar yang lebih cemerlang dalam setiap antara kami.

Amin...


RELATED POSTS

0 komen

Comment