Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

Meneroka Gua Gelanggi

4:53:00 PTG Hasif Hamsyari 0 Comments Category :

Selepas Gua Telinga di Taman Negara ditutup beberapa tahun lalu, Gua Gelanggi boleh disifatkan sebagai alternatif untuk pengunjung yang mahu merasai sendiri pengalaman meneroka gua. Walaupun Gua Gelanggi masih kurang dikenali, tapi jumlah pengunjungnya makin meningkat hari ke hari.
Berlatarbelakangkan tarikan utama kat sini.
Harus saya katakan, Gua Gelanggi berusia 150 juta tahun ni menawarkan pengalaman eksplorasi yang cukup mengagumkan. Barangkali sebab ini kali pertama saya meneroka gua jadi saya cukup teruja. Pun begitu, keunikan Gua Gelanggi ternyata bukan omongan kosong!

Selepas membuat tempahan di Taman Negara, kami dibawa semula menaiki van ke Bandar Jerantut. Kira-kira setengah jam perjalanan, kami sampai ke kawasan perkampungan yang mula menampakkan bukit-bukit - di bawahnya terdapat gua-gua yang bakal kami teroka.

Terlalu banyak sebenarnya cerita, sama ada yang bernilai sejarah mahupun sekadar mitos tetapi itulah yang menjadikan gua ini sangat istimewa! Sedikit trivia, gua ini dikatakan tempat Pahlawan Mat Kilau mendalami ilmu persilatannya. Apatah lagi, berdekatan dengan lokasi ini iaitu di Kampung Pulau Tawar terdapat tempat persemadiannya. Di sini juga menjadi lokasi filem Melayu lama bertajuk Sumpah Semerah Padi (1981).

Lokasi ini dipanggil sebagai Kota Gelanggi atas beberapa sebab. Pertama, di sini terdapat banyak lagi gua-gua yang menjadikan lawatan ke sini jadi lebih menarik sebab korang boleh jelajah gua-gua ni sekali gus. Kedua, ramai mempercayai kawasan ini sebenarnya ialah sebuah penempatan manusia.

Bersama-sama dengan tour guide kami, Andrew, kitorang menjelajah Kota Gelanggi dengan penuh rasa teruja dan ingin tahu.

Satu kemestian yang korang kena ada kalau mahu meneroka sesebuah gua ialah imaginasi. Kalau tak ada imaginasi, penerokaan korang boleh jadi membosankan sebab batu-batuan di sini mempunyai pelbagai corak dan bentuk. Korang mesti akan kagum kalau dapat kesan persamaan sesuatu corak dan bentuk itu dengan sesuatu haiwan, benda mahupun manusia!
Batuan seakan kepala dinasaur dekat-dekat Gua Tongkat.
Kitorang mulakan eksplorasi dari Gua Tongkat. Di sini kawasannya terang dan pada satu-satu kawasan, korang boleh kesan peninggalan manusia zaman dahulu serta ada beberapa lubang yang dikorek dipercayai menjadi kubur malah dikatakan di sini jugalah kubu komunis dahulu.

Seterusnya ialah Gua Gajah. Di sini terdapat batuan stalagmit yang membentuk seperti seekor gajah. Dekat sini juga terdapat kelawar-kelawar. Bukan selalu dapat melihat haiwan nokturnal ni di habitat asalnya!
Nampak tak kelawar-kelawar yang sedang menggeliat penuh annoying dengan kehadiran kitorang?
Gua Angin ialah lokasi seterusnya. Sekali lagi kitorang jumpa kelawar-kelawar. Andrew bawak kitorang ke kawasan batuan mineral. Gua ni memang kaya dengan batuan mineral tapi lokasi ini istimewa sebab batuan mineralnya membentuk kolam-kolam di lantai gua. Warnanya putih berkilauan. Selaluanya, di kawasan seperti ini menjadi lokasi haiwan-haiwan liar untuk minum sebab inilah bekalan tenaga mereka.
One of the magnificent views you can experience in this one-of-a-kind cave.
Lubang-lubang yang terhasil, di lantai mahupun di siling gua akibat bentukan stalagmit dan stalaktit.
Gua seterusnya ialah tarikan yang boleh disifatkan klimaks dekat sini. Gua nilah yang 'membuktikan' cerita mitos popular yang berlaku di sini. Gua Batu Sanding. Di sini, terdapat batuan yang membentuk platform persis macam sebuah pelamin. Di situ terdapat dua ketul batu berbentuk seperti sepasang pengantin di atas pelamin. Salah satunya sedang berdiri, barangkali pengantin perempuan, manakala satu lagi sedang duduk, barangkali pengantin lelaki. Di atas platform berlatarbelakangkan pemandangan hutan yang hijau itu juga terdapat batu seakan-akan sebuah meja yang di atasnya terdapat seketul batu, dipercayai sebagai hadiah perkahwinan.
Sekarang cuba guna imaginasi korang dan bayangkan apa yang saya cakap tadi melalui gambar ni. Hehe.
Kisahnya, berlaku perebutan gadis ketika mana suatu majlis perkahwinan sedang berlangsung. Perseteruan itu menarik perhatian raksasa legenda bernama Sang Kelembai yang menegur mereka. Sang Kelembai, kalau korang tak tahu ialah raksasa yang disumpah yang mana boleh menyebabkan sesiapa yang ditegurnya menjadi batu. Dan itulah yang terjadi kepada semua yang ada di situ. Satu kota itu menjadi batu.

Cerita-cerita ini berlambakan di internet dalam pelbagai versi. Korang boleh google sendiri juga.

Di sekeliling kawasan ini juga ada batuan lain yang bermacam bentuknya. Ada juga pengunjung yang gemar menyusun batu di sini dengan pelbagai corak termasuklah seekor angsa.
Antara batuan-batuan yang ada di sini.
Sekeliling Gua Batu Sanding.
Antara batuan-batuan sekeliling Gua Batu Sanding ini juga terdapat banyak corak-corak yang sangat mencabar imaginasi korang.
Andrew bawak kitorang ke dalam sebuah kawasan yang sangat gelap pekat. Lampu semua diminta untuk dipadamkan dan Andrew menyalakan lampu special yang dia bawak dan disuluh ke siling gua. Wow! Cantik gila! Terpesona sekejap dengan pemandangan yang seakan bintang di waktu malam! 

Dan itulah persinggahan terakhir kitorang sebelum berpatah balik.

Menurut Andrew, kawasan Kota Gelanggi ni dulu dikatakan sebenarnya sebuah laut sebab tu kat sini ada banyak cengkerang-cengkerang siput yang korang boleh jumpa. Di kawasan-kawasan ini pelancong tidak dibenarkan lalu supaya ia terjaga.
Antara kawasan yang nampak cengkerang-cengkerang siput.
Kawasan Kota Gelanggi ini juga dikatakan agak 'keras'. Sesetengah orang percaya di sini terdapat perkampungan bunian. Adatlah pada kita sebagai orang yang percaya kewujudan entiti tak terlihat di mata, mana-mana kawasan yang kita pergi apalagi yang 'nampak seperti tidak dihuni', harus menjaga tingkah laku dan lidah kita.
Misteri dan keajaiban Gua Gelingga nyata berbeza dengan gua-gua lain yang ada di Malaysia!
Antara pengalaman menarik lain saya dan kawan-kawan lalui ialah terbau hamis babi hutan ketika dalam perjalanan. Apalagi bila kitorang jumpa sendiri tapak kaki babi hutan yang masih baru! Nasib baik tak ada apa-apa yang tak diingini berlaku. Biasalah, di kawasan hutan yang masih terpelihara, haiwan-haiwan liar sentiasa ada. Bukan sahaja babi, bahkan ular jugak.

Selain tu, ada kawasan dalam gua yang korang akan rasa angin sejuk macam air cond. Sangat mendamaikan!

Pengalaman meneroka Gua Gelanggi ni ialah pengalaman yang takkan saya lupakan. Terus pasang wish list nak lebih banyak teroka gua lepas ni.

Kalau korang mahu merasai pengalaman ni, korang boleh cari agensi yang menyediakan perkhidmatan ni. Ada sesetengah agensi tak letak Gua Gelanggi dalam carta pakej yang ditawarkan sebab kawasan ini masih baharu. Korang boleh pergi sendiri tanpa tour guide cuma ia mungkin akan menjadi agak bahaya dan yang lagi penting, korang mungkin sukar menemukan hidden gems dalam gua ni.

Secara kesimpulan, gua ni sesuai untuk korang yang suka aktiviti sederhana lasak.

Tahap Ekstrem:
Adventure (Sederhana Lasak)
Mendaki, menyelit dan merangkak celah lubang sempit, kawasan yang gelap

Best Time to Visit:
Sesi 1: 9.30 am (Recommended)
Sesi 2: 1.30 pm
Setiap hari kecuali antara bulan Disember hingga Januari (musim hujan)  

Durasi penerokaan:
1 jam 30 minit - 2 jam

Barang perlu dibawa / Tips:
Lampu suluh yang terang, kasut trekking. 
Elakkan bawak beg besar dan jangan lupa air mineral.

RELATED POSTS

0 komen

Comment