Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

13 Panduan kalau di Klang, Selangor!

10:40:00 PTG Hasif Hamsyari 0 Comments Category :

Bandar Klang sememangnya kawasan perdagangan yang penting di Semenanjung Malaysia ni. Almaklumkan, dekat pulak dengan Pelabuhan Klang. Tapi lebih daripada tu, Klang sememangnya memiliki tarikan yang menarik untuk diteroka. Jadi bersempena program Eat Travel Write 5.0 baru-baru ni, aku nak perkenalkan lokasi-lokasi best korang kena singgah kalau ke Klang.
 
MANA NAK SINGGAH?

1. Royal Klang Heritage Walk
Teroka Klang dengan cara lebih santai dan informatif.
Salah satu cara yang tidak terlalu pantas tapi cukup informatif untuk korang mengenali bandar Klang ialah melalui aktiviti yang disediakan secara percuma ni. Melalui aktiviti ni, aku dan rakan-rakan media dibawa melawat ke banyak lokasi yang menjadi tumpuan di Klang. Antaranya ialah Raja Abdullah Warehouse, Balai Bomba Klang, Little India, Old Chartered Bank Building, Masjid Diraja Sultan Suleiman, Kuil Sri Nagara Thendayuthapani, Tokong Kuan Yin dan banyak lagi.

Jadi kalau korang fikir bagaimana caranya nak pusing sekitar Klang dengan hanya berjalan kaki, boleh cuba ikut Royal Klang Heritage Walk ni.

Waktu: 10 pagi hingga 12.30 tengah hari, setiap hujung minggu
Bayaran: Percuma
Tempat bermula: Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz

2. GM Klang
Pintu masuk utama GM Klang.
Disebut-sebut sebagai Pasar Borong Sehenti Paling Komprehensif di Asia Tenggara, GM Klang memberikan gambaran cukup jelas kepentingan Klang sebagai pusat perdagangan yang dekat dengan pelabuhan. Malah, ini juga merupakan kompleks pasar borong terbesar di Malaysia!

Blok A saja boleh memuatkan seribu peniaga, dengan kategori produk dibahagikan kepada setiap lima tingkat. Blok B yang baru je dibuka pula menjadi hab untuk pencinta fesyen manakala Blok C khas untuk korang yang mencari keperluan dan perkakasan rumah serta perkahwinan.

ATM, Wi-Fi, servis logistik dan kurier, kedai makanan pun disediakan kat sini.

Alamat: GM Klang Wholesale City, Jalan Kasuarina 1, Bandar Botanic Capital, 41200 Klang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603-33251788
Waktu Perkhidmatan: 10am - 7pm (Blok A & B), 10am - 10pm (Blok C), setiap hari
 
3. Tanjung Harapan

Tanjung Harapan antara yang cukup menggamit perasaan.
Kalau mahu rehatkan minda barang sejenak, ini mungkin salah satu lokasi yang tepat untuk korang singgah. Lagi best, kalau singgah pada waktu matahari terbenam. Pemandangannya bukan setakat cantik, bahkan romantik! Tambah-tambah dengan replika kapal Bugis yang cukup menjadikan suasana di sini sangat menarik.

Kalau cuaca baik, boleh juga berbasikal dekat sini. Berdekatan sini juga ada Muara Ikan Bakar.

4. Pulau Ketam
Majoriti penduduk di sini bekerja sebagai nelayan.
Salah satu lokasi pelancongan yang cukup terkenal di Klang semestinya Pulau Ketam. Untuk ke sini cuma memerlukan kira-kira 30 minit menaiki bot dari Pelabuhan Klang. Harga tiketnya cuma RM7 (feri) dan RM10 (bot laju - speed boat).

Pulau ini sebenarnya perkampungan nelayan yang cukup sederhana. Majoriti penduduknya berbangsa Cina dan ada antara mereka sukar bercakap dalam Bahasa Melayu, apatah lagi Bahasa Inggeris. Pengangkutan utama di sini ialah basikal dan motorsikal automatik. Memandangkan ia sebenarnya pulau, semestinya makanan terkenal di sini ialah makanan laut. Pun begitu, agak sukar mencari makanan halal.

Seharian di sini, korang bolehlah meluangkan masa berbasikal sambil melihat keindahan perkampungan nelayan ini di waktu senja, melawat pasar, pembuatan ikan dan sotong kering serta menyusuri rumah-rumah kedai mahupun kediaman di sini. Atau boleh juga menyewa bot untuk dibawa pusing ke sekitar kawasannya.
Ada mural-mural yang cukup cantik untuk menghiasa laman Instagram korang jugak.
Adapun keunikan Pulau Ketam tak ramai yang pernah teroka, ada juga yang menganggap lokasi ini hampir serupa seperti perkampungan nelayan di Kemboja. 'Malaysia Truly Asia'lah katakan...

*Kekerapan bot ke Pulau Ketam sangat sekejap. Mudah je nak cari.

5. Istana Alam Shah
Rupa Istana Alam Shah dari luar.
Istana Alam Shah ialah merupakan istana rasmi Sultan Selangor yang berperanan sebagai tempat baginda menjalankan tugas-tugas rasmi sebagai Sultan selain adat-istiadat seperti pengurniaan darjah kebesaran.

Lawatan ke sini sememangnya boleh membuatkan pelancong kagum melihat dengan lebih dekat sebuah istana yang tersergam indah. Di sini, pelancong bukan setakat boleh melihat sendiri bilik pejabat sultan, ruang santapan diraja, takhta dan bilik mesyuarat diraja, bahkan boleh melihat koleksi sultan yang tak semua orang boleh dapat peluang ni tau. Antaranya termasuk Galeri Bola Sepak Selangor dan Galeri Automobil Diraja yang menyimpan koleksi kenderaan baginda.
Pegawai istana akan turut menemani pengunjung menerangkan setiap sudut istana.
Pun begitu, lawatan ke sini bukan diadakan secara walk-in. Kena berhubung dengan badan-badan berkenaan terlebih dahulu seperti Pejabat Daerah Klang atau bolehlah bertanya lanjut di Facebook Lawatan Istana Alam Shah.

APA NAK MAKAN?

6. Lontong Klang
Lontong Klang.

Sebut je Klang, lontong barangkali yang pertama akan bermain di minda. Dan lokasi yang terbaik korang boleh dapat rasai keenakannya ialah di Lontong Klang, berdekatan dengan Pasar Jawa. Sekarang, kedai Lontong Klang dah ada tiga cawangan iaitu di Klang, Shah Alam dan Bukit Tinggi.

Lontong Klang memang cukup terkenal untuk sarapan pagi. Sebab tu korang dinasihatkan datang awal supaya tak kecewa nanti. Apatah lagi, di sinilah resipi aslinya bermula sehinggakan cawangan seperti di Shah Alam pun sentiasa menjadi serbuan orang ramai!

Di kedai makan yang cukup sederhana berusia lebih 30 tahun, pengalaman kulinari korang pastinya takkan sempurna tanpa semangkuk Lontong Klang asli kat sini. Harga bermula RM4 dan menu lain yang tak rugi cuba ialah nasi lemak dan roti canai.

Alamat: Lontong Klang, Emporium Makan, 1A, Jalan Harper, Klang, Selangor.
Waktu Perkhidmatan: 7am - 11am. Tutup Isnin ketiga setiap bulan.

7. Roti Telur Goyang di Chong Kok Kopitiam
Menu ringkas yang cukup lazat untuk sebuah hidangan sarapan pagi.
Berusia lebih 76 tahun, Chong Kok Kopitiam terkenal dengan dua padanan makanan minuman yang cukup lejen kalau sebut je Klang - roti telur goyang dan kopi. Untuk mendapatkan sarapan yang berlainan daripada kebiasaan, bolehlah cuba datang ke sini. Menu yang ditawarkan pun datang dengan harga cukup berpatutan.

Kalau rasa dah sedap dan harga pun berbaloi, janganlah hairan melihat kedai ini sentiasa penuh dengan kehadiran ramai pelanggan.

Alamat: 5, Jalan Stesen, 41000 Klang, Selangor
Telefon: +603-33710996
Waktu Perkhidmatan: 7am - 6pm (Isnin hingga Sabtu), 7am - 2pm (Ahad)

8. Nasi Daun Pisang dan Jus Kedondong Asam Boi di Restoran Yap Kee
Kelazatan asli yang memukau!
Sekalipun jelasnya ialah restoran Cina, restoran ni terkenal dengan menu makanan India iaitu Nasi Daun Pisang. Lokasi ni pun cukup terkenal dalam kalangan masyarakat setempat sehingga menarik pelanggan daripada pelbagai latar bangsa.

Sama macam namanya, nasi dengan kuah kari dan sayuran serta sedikit papadom ni dihidangkan atas daun pisang. Tapi rasanya memang cukup rempah dan mesti membuatkan makan tengah hari korang bukan setakat mengenyangkan, bahkan memuaskan! Tambah lebih sedap kalau ditemani dengan secawan minuman jus kedondong asam boi, pilihan terbaik untuk dinikmati dalam cuaca yang panas terik.

9. Telur Berlada di Claypot Asam Pedas Andak, Kampung Kuantan
Antara menu lazat yang harus cuba kalau ke sini.
Ada beberapa warung di Kampung Kuantan ni yang menawarkan menu Telur Berlada yang terkenal tapi yang paling disebut-sebut keenakannya barangkali di Restoran Claypot Asam Pedas Andak ini. Dimiliki dan diusahakan oleh keluarga Encik Olie, pemuzik daripada kumpulan legenda Heavy Machine, menu-menu yang ditawarkan kat sini ialah menu masakan kampung yang cukup mengiurkan!

Antara lain yang harus cuba semestinya Asam Pedas Claypot terutama dengan menu daging tetel dan ikan pari.

Air yang ditawarkan pun tak mengecewakan. Kalau tak percaya, cubalah pesan air bateri, air Selangor, kedondong asam boi, blackberry samba atau mangga chocolate. 

Didirikan di hadapan rumah kampung berusia lebih 100 tahun, pastinya makan di sini mengembalikan nostalgia masakan kampung yang tiada tolok bandingnya.

Alamat: TBG 97, Kampung Kuantan, 41300 Klang
Telefon: +603-3344 4192

10. Kuih-Muih dan ABC Tembikai Palm Grove di Warung Pak Din
ABC Tembikai Palm Grove yang cukup perfek untuk cuaca panas.
Ini pula lokasi yang cukup sesuai kalau mahu bersantai dan minum petang. Terletak di kawasan perumahan, menariknya warung ni ialah kerana lebih 50 kuih-muih yang ditawarkan! Yang paling terkenal semestinya karipap cheese.

Untuk pencuci mulut, aku sangat mencadangkan menu unik ABC Tembikai Palm Grove. Terbaik!
Rupa pintu masuk ke Warung Pak Din yang cukup ringkas.
Alamat: 40, Jalan Ladang, Taman Palm Grove, 41200 Klang.
Telefon: +6013-281 1788
Waktu Perkhidmatan: 11am - 6pm setiap hari kecuali Jumaat

11. Sate Famili Wak Sidek
Sate yang diperam dengan ramuan khas pastinya menggiurkan apabila dibakar di atas bara.
Sebagai menu wajib di serata Malaysia, Klang tak boleh terlepas daripada memiliki kedai sate yang pastinya menjadi persinggahan wajib sesiapa yang singgah ke sini. Sate yang ditawarkan pulak cuba bervariasi - ayam, lembu, kambing dan bahkan satay perut.

Rasanya memang cukup membuatkan aku nak terus makan dan makan. Sambil-sambil tu, boleh juga cuba nasi impit dan kuah kacang selain nasi lemak yang tak kurang enak.'

Alamat: Jalan Meranti Putih 1/KU10, Taman Desa Permai, Meru, 41050 Klang
Telefon: +6011- 4000 9966
Waktu Perkhidmatan: 3pm - 11pm (setiap hari kecuali Ahad)

MANA NAK TIDUR?

12. Aliya Hotel
Kolam renang di Aliya Hotel.
Antara pilihan terbaik untuk bermalam di Klang ialah di Aliya Hotel. Hotel tiga bintang ni menawarkan 138 bilik tidur yang elegan dan selesa. Ada kolam renang jugak disediakan selain restoran Selera Coffe House yang menawarkan menu pelbagai.
Antara masakan yang ada di Selera Coffee House.
Baik untuk tujuan istirehat mahupun untuk seminar atau hal-hal kerja, Aliya Hotel memang cukup sesuai. Tambah-tambah lokasi ni terletak di tengah-tengah Klang. Nak cari kedai makan atau ke tempat tarikan pun tak jauh.

Alamat: Aliya Hotel Klang, Lot 336, Seksyen 23, Jalan Meru, Kapar, 41000 Klang.
Telefon: +603-3341 1313
Laman Web: www.aliyahotel.com

13. Sea Lion Hotel, Pulau Ketam
Mr. Cha Keng Lee (kiri), Ketua Kampung dan pemilik Sea Lion Hotel Pulau Ketam memberi penerangan kepada kami.
Untuk sebuah hotel dengan kemudahan asas yang tak kurang lengkap, ini mungkin pilihan terbaik kalau korang bercadang nak bermalam selepas meneroka Pulau Ketam ni. Seawal sampai di Jeti Pulau Ketam, korang dah boleh nampak dah hotel ni. Dekat sangat.

Diorang pun sediakan servis bot dan basikal untuk memudahkan korang meneroka pulau ni.

Alamat: Sea Lion Hotel, S3, Jalan Merdeka, 42940 Pulau Ketam
Telefon: +603-3110 4121 / +603-3110 5121 / +603 3119 4072
Laman Web: sealion.com.my/
_______________________________
Program Eat Travel Write 5.0 dianjurkan oleh Gaya Travel Magazine dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor.

RELATED POSTS

0 komen

Comment